TTIMSB Tawar Pakej Pelancongan Berkonsepkan Ibadah Sepanjang Ramadan

Date: 
Thu, 06/18/2015 - 01:20

KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu sepanjang Ramadan ini Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTIMSB) akan menawarkan pakej istimewa berkonsepkan pelancongan ibadah ke negeri ini.

Pengarah Urusannya Wan Adnan Wan Derahman berkata pakej Islam Ramadan Masjid Kristal yang diperkenalkan itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik dengan harga serendah RM299 seorang.

"Pakej ini menyajikan dua pakej berasingan bagi pengunjung yang ingin menginap selama tiga hari/dua malam harganya RM299 seorang manakala bagi pakej empat hari/tiga malam pula dikenakan bayaran RM399 seorang.

"Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh mereka menyertai pakej tersebut adalah berbuka puasa di atas bot, solat tarawih, qiamullail, tadarus al-Quran bersama imam Masjid Kristal dan turut akan dibawa ke kilang Desa Murni Batik," katanya kepada Bernama Isnin.

Pakej itu selaras dengan hasrat Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang mahu Terengganu terus mempelbagaikan konsep pelancongan, tambahan pula negeri itu terkenal dengan sejarah ulama terkenal dalam perkembangan Islam di negara ini.

Wan Adnan berkata bagi mereka yang mengambil pakej empat hari tiga malam pula, mereka akan disajikan lagi dengan aktiviti tambahan.

"Selain dibawa ke kilang Desa Murni Batik dan kembara Bazar Ramadan di Dataran Shahbandar, mereka turut dibawa melawat ke Institut al-Quran dan juga ke rumah orang tua," katanya.

Sehubungan itu mereka yang berminat boleh menghubungi pihak TTIMSB di talian 09-6278888 atau 09-6278807 untuk membuat tempahan awal.

Pada musim cuti persekolahan baru-baru ini lebih 70,000 pengunjung melawat Taman Tamadun Islam di sini.

-- BERNAMA