Satu helai kemeja satu corak

Date: 
Thu, 06/18/2015 - 02:50

KUALA TERENGGANU - Taman Tamadun Islam (TTI) yang menjadi salah satu lokasi pelancongan di Terengganu, kini menampilkan sebuah galeri baharu iaitu Galeri Batikhat yang menempatkan hampir 500 helai kemeja lelaki pada peringkat permulaan dengan berkonsepkan batik khat untuk dijual.

Pengarah Urusan TTI, Wan Adnan Wan Derahman berkata, cetakan eksklusif itu akan ditambah mengikut beberapa fasa yang dijadualkan.

“Galeri ini bukan sahaja menjual baju kemeja lelaki, tetapi kita telah merancang untuk menjual pakaian wanita, kain pasang (sutera satin) dan produk sampingan seperti lukisan dinding batik khat dan banyak lagi.

"Dijangka sebelum Ogos ini produk lain turut dijual di galeri ini," katanya.

Kata beliau, galeri itu berkonsepkan satu helai satu corak membuatkan pakaian yang dijual di Galeri Batikhat menjadi sangat eksklusif.

"Kita akan kekalkan konsep satu helai satu corak dan tidak akan ada cetakan kedua untuk corak sama.

“Tulisan khat yang ditampilkan juga tiada kaitan langsung dengan hadis mahupun ayat al-Quran, cuma menggunakan tulisan ‘Terengganu’, ‘Terengganu Darul Iman’, ‘Taman Tamadun Islam’, ‘Masjid Kristal’ dan ‘Salam’ sahaja,” katanya pada sidang media sempena Promosi Batikhat yang bermula 29 Mei lalu di TTI, di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Desa Murni Batik Sdn Bhd, Suhaimi Embong yang juga pengeluar batik khat.

Menurut Wan Adnan, memandangkan konsep berkenaan adalah satu-satunya yang terdapat di TTI, pihaknya kini sedang dalam proses mendaftar hak cipta bagi mengelak berlaku cetakan di luar pengetahuan TTI (ciplak).

“Selain menumpukan jualan di dalam galeri ini, kami juga akan menyertai festival di dalam dan luar negeri termasuk melakukan jualan secara online," katanya.

Dalam masa sama, TTI dengan kerjasama Desa Murni Batik telah melancarkan pakej River Cruise dari jeti TTI menuju ke Kilang Desa Murni Batik di Kampung Pulau Rusa sambil menyusuri Sungai Terengganu yang memakan masa hampir satu jam perjalanan pergi dan balik.

“Pengunjung yang mengambil pakej ini akan dibawa melawat kilang untuk melihat sendiri proses menghasilkan batik digital… sebelum ini Desa Murni tidak pernah membuka ruang kepada orang ramai untuk melihat proses berkenaan,” jelasnya.

Tiket dijual serendah RM8 hingga RM15 mengikut kategori umur.

----SINAR HARIAN