Desa Murni Perkenal Batik Khat Serba Eksklusif

Date: 
Thu, 06/18/2015 - 01:20

KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Desa Murni Batik Sdn Bhd (DMBSB) yang juga pengeluar batik dan sutera dilengkapi kemudahan kilang digital terbesar di Malaysia, kini memperkenalkan produk batik khat bagi memenuhi citarasa eksklusif peminat tekstil berkenaan.

Pengarah Urusannya, Suhaimi Embong, berkata produk terbaharu itu hasil kerjasama dengan Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTIMSB) bagi memartabat serta mencetus inovasi baharu untuk merancakkan lagi industri batik di Terengganu.

"Buat permulaan, kami mengeluarkan batik khat dalam bentuk kemeja lelaki yang mana coraknya tidak langsung melibatkan penggunaaan ayat-ayat al-Quran, hadis atau sebarang tulisan yang mengundang kemarahan masyarakat Islam.

"Sebaliknya, motif itu cuma tulisan biasa seperti Assalamualaikum, Terengganu dan pelbagai perkataan melambangkan budaya dan identiti negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menerima kunjungan media sempena pelancaran pakej River Cruise dari Taman Tamadun Islam ke kilang Desa Murni di Pulau Rusa, di sini, Isnin. Hadir sama, Pengarah Urusan TTIMSB, Wan Adnan Wan Deraman.

Menurutnya, syarikat itu juga secara berperingkat, akan turut mengeluarkan produk batik khat termasuk pakaian wanita iaitu blaus, kaftan, kain pasang selain hasil kraftangan seperti alas meja, pelapik pinggan serta dompet.

"Malah, seperti rekaan batik sutera kami yang lain, satu corak dikhususkan untuk satu helai pakaian saja demi menjaga kualiti nilai eksklusifnya," katanya.

Suhaimi turut mengunjurkan pelancaran produk itu akan meningkatkan jualan syarikat sekitar RM1 juta sebulan ketika ini yang merangkumi purata pengeluaran 250 hingga 300 pasang sehari menggunakan mesin berteknologi tinggi dari Itali.

"Sebagai pengeluar dan pengedar batik sutera digital terbesar di Malaysia, kami sentiasa berusaha menambah baik dan memperkenalkan produk baharu menerusi bantuan khidmat nasihat teknikal bagi penggunaan fabrik, warna dan rekaan daripada tenaga pakar di Switzerland.

"Kami turut mengekalkan harga produk batik dan sutera kami. Pelanggan tidak perlu membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah diserap syarikat," katanya.

--BERNAMA